Skip to main content

TEMUBUAL PROFIL DATO’ MOHD NOR KHALID

Bukan mudah untuk mendapatkan temujanji dengan beliau. Atas alasan sudah terlalu kerap ditemubual dan kebanyakkan persoalan yang ditanya adalah sama, Dato' Mohd Nor Khalid atau lebih popular dengan nama penanya LAT hampir-hampir menolak permohonan temujanji ini. Namun setelah meneliti surat editorial, Dato' Lat bersetuju malah sanggup datang sejauh Ipoh untuk ditemubual di Studio Rakaman Buletin Malaysia di Putrajaya. Editorial mengucapkan berbanyak terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh Dato' LAT. Ebm

EBM: Dato' boleh kita berkongsi pengalaman dan latar belakang Dato' hingga membawa Dato' dikenali sebagai kartunis yang paling popular pada pengamatan saya di sini.

Dato':
Saya sudah lama melukis kartun lebih 30 tahun dengan nama LAT iaitu nama asal saya Bulat, di kampung semasa kecil, orang kampung panggil saya Bulat. 30 tahun saya melukis untuk majalah dan juga akhbar. Saya adalah seorang pemberita akhbar di Berita Harian kemudian di New Straits Times dan akhirnya saya sepenuh masa dalam kartunis sehinggalah ke hari ini. Saya sudah 28 tahun sepenuh masa dalam kartunis. Dahulu saya bertugas dan duduk di Kuala Lumpur, sekarang saya pulang ke tempat asal saya di Perak dan saya masih melukis. Lukisan saya sekarang ini melibatkan editorial kartun untuk New Straits Times iaitu tiga kali seminggu. Hari Isnin, Selasa dan Sabtu serta komentar tentang keadaan hidup seharian dan hal ehwal semasa. Saya hantar dari Ipoh dan itulah kerja saya.

EBM: Dato' katakan bahawa Dato' bermula dengan profesion sebagai pemberita akhbar di Berita Harian. Bagaimana boleh bertukar kerjaya?

Dato':
Ceritanya panjang dan bermula lebih awal lagi. Saya mula melukis sejak sekolah rendah iaitu pada darjah enam dan telah menerbitkan lukisan saya dalam bentuk komik dalam tahun 60-an. Ketika saya berusia 17 tahun saya telah mula menerbitkan "Keluarga Si Mamat" dalam Berita Minggu dan menjadi siri dan terbit setiap hari minggu sampai berpuluh-puluh tahun dan saya rasa lebih 20 tahun. Mamat adik saya yang kecil. Sewaktu itu saya masih di bangku sekolah, dalam tingkatan empat. Jadi orang-orang di Kuala Lumpur terutamanya orang-orang suratkhabar seperti Pak Samad Ismail mula mengenali saya melalui karya yang saya hantar di Berita Minggu. Bila saya tamat Senior Cambridge dalam tahun 1969, saya minta kerja di Berita Minggu dengan mengatakan saya nak jadi artist kerana pada ketika itu pelukis kartun tiada, melainkan menjadi pelukis di mana mereka membuat lay out dan touch up dalam suratkhabar. Pihak Berita Minggu mengatakan tiada kekosongan kerja tetapi kalau saudara hendak kerja sebagai reporter bolehlah. Saya pun tak tahu apa dia reporter tu tapi mereka dah kenal saya dan siri kartun saya sudah mendapat perhatian ramai, jadi mudahlah saya mendapat kerja di situ. Saya bertugas sebagai reporter di Berita Harian, kemudian di New Straits Times dalam bahagian jenayah. Sesuailah untuk orang muda macam saya ketika itu untuk mengejar ambulans dan kereta polis. Pengalaman sebagai pemberita banyak membantu saya bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya seronok dengan kerja itu tetapi pada masa itu, kecenderungan saya dalam lukisan semakin bertambah. Saya rasa dengan berjumpa dengan orang ramai, saya lebih memahami kehidupan mereka samada orang biasa, pegawai atau ketua. Saya lebih memahami tentang kehidupan di Kuala Lumpur maklumlah usia muda mendorong untuk lebih tahu. Malangnya penulisan saya tidak banyak improvement agaknya saya tidak begitu cenderung dalam mengambil tahu hal orang lain bila kita bertanyakan soalan yang banyak sebagai pemberita. Segan juga, kita bertanyakan tentang umur dan asal-usul mereka terasa semacam melampau kerana diri kita merasakan tidak suka apabila orang banyak bertanya tetapi saya pergi pada ceruk pelusuk seperti Kampung Paya Jaras dan Kepong. Kalau ada kemalangan saya pergi membuat liputan tetapi saya mula terasa tidak seronok, dahlah masuk rumah orang, tanya pula pelbagai soalan dan apabila balik kita buat kerja kita.

EBM: Bilakah Dato' mula menyedari Dato' mempunyai bakat melukis dan bagaimana bakat itu dipupuk.

Dato':
Melukis ini lebih kurang sama dengan ahli muzik dan penyanyi. Bakat itu sudah ada dan perlu diasah bakatnya supaya menjadi lebih mahir. Bakat saya mula disedari di bangku sekolah dan saya mula melukis semasa darjah satu. Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua, jika ada daripada keluarga yang minat melukis contohnya cucu, kita seharusnya memberi dorongan kepadanya dengan memberi pen dan kertas. Ibu bapa saya banyak memberi dorongan kepada saya untuk terus melukis dengan meminta saya menggambarkan setiap tempat yang saya telah pergi seperti pasar, zoo dan bandar dalam bentuk lukisan. Ayah banyak mengambil berat tentang saya , walaupun beliau tidak serius tetapi beliau seorang yang kelakar. Ayah saya bekerja sebagai kerani askar dan kerap outstation. Setiap kali outstation beliau akan menghantar surat kepada ibu dan untuk saya, beliau akan lakarkan satu gambar tentang keadaan beliau di sana.

EBM: Hasil karya Dato' banyak tertumpu pada kekeluargaan dan Dato' mengambil cerita-cerita keluarga sebagai ilham. Nampaknya karakter watak ayah begitu garang. Berdasarkan cerita Dato', ayahnya begitu understanding dan memberi sokongan .

Dato':
Ayah saya garang juga orangnya. Dahulu, boleh dikatakan semua ayah garang. Sewaktu di kampung, kawan-kawan saya, takut dengan ayah. Ada satu cerita, saya menunggu kawan di tepi jalan untuk bermain, agak lama saya menunggu. Selepas itu, kelihatan kawan saya berlari kerana dikejar oleh ayahnya dengan menggunakan kayu, jadi saya pun fahamlah program hari itu terpaksa dibatalkan. Ayah saya pernah mengejar saya dengan batang ubi dan ibu pernah mengejar saya kerana bermain sampan di paya tanpa berbaju. Semasa itu saya adalah antara yang termuda berbanding dengan kawan-kawan yang lain. Apabila saya naik, kelihatan ibu sedang menunggu di tebing. Ayah dan ibu saya memang garang, tetapi bila dikenang semula, saya dapat rasakan itu adalah marah yang menandakan mereka sayang pada saya.

EBM: Dilihat sebahagian besar karya Dato' banyak berkisar tentang keluarga sendiri. Mengapa Dato' cenderung ke arah itu?

Dato':
Saya bercerita tentang apa yang berlaku pada diri sendiri dan secara kebetulan apa yang berlaku tiada yang sensasi. Kalau dilihat dalam buku "Kampung Boy", saya rasa tiada yang istimewanya, ia banyak berkisar tentang budak kampung menaiki basikal pergi ke simpang tetapi semuanya dialami oleh kanak-kanak yang menetap di kampung. Oleh itu, masyarakat dapat berkongsi pengalaman tanpa mengira bangsa. Apabila bangsa India atau Cina membaca buku saya, mereka akan bercerita pada cucu-cucu mereka bahawa semasa kecil mereka mandi sungai dan bermain di paya. Ini menunjukkan mereka mengalami pengalaman yang sama seperti saya. Biasanya cerita rekaan, sensasi dan mencabar. Kalau difikirkan suasana hidup di kampung memang bertuah kerana kawasan luas dan udara nyaman.

EBM: Nampaknya Dato' banyak menggunakan elemen kampung dalam berkarya dan Dato' mampu tampil sebagai orang yang terkenal. Tetapi dilihat secara keseluruhan, orang seni sekarang lebih suka menampilkan latar belakang yang berbeza kerana mereka berpendapat elemen kampung tidak mampu mengangkat mereka ke peringkat antarabangsa, sedangkan Dato' telah membuktikan bahawa kehidupan kampung kalau digarap dengan betul boleh menyumbang kepada kejayaan.

Dato':
Kartunis angkatan muda berlatar belakangkan bandaraya. Mereka hidup di bandaraya jadi karya yang dihasilkan memaparkan cara hidup bandar. Saya berasal daripada kampung, jadi karya saya lebih kepada kampung, saya rindukan kampung, kawan-kawan dan saudara mara yang rapat dengan saya. Apabila difikirkan, saya memperkenalkan asal usul kita pada peringkat awal terutamanya pada generasi muda. Saya bercerita pada anak-anak, saya bukan berasal daripada Petaling Jaya. Saya dilahirkan di rumah tidak di hospital seperti mereka , dan nenek saya menjadi bidan. Dahulu, kaum ibu bersalin di rumah kampung atau rumah kutai di Perak di mana rumahnya tinggi. Saya gambarkan keadaan dalam rumah itu dalam lukisan saya supaya generasi muda dapat mengamatinya. Generasi muda perlu tahu asal usul mereka supaya mereka tidak hidung tinggi. Mereka perlu sedar datuk nenek mereka dahulu bukannya senang, ada yang mendulang dan bersawah.

EBM: Dikatakan karya Dato' berlatar belakangkan Malaysia yang lama, tetapi nampaknya karyawan sekarang tertumpu pada latar belakang Malaysia yang baru. Kebanyakkan karyawan daripada Vietnam dan Indonesia lebih menjurus pada elemen tradisional, tetapi dilihat Dato' mampu mengangkat diri Dato' lain daripada yang lain. Bagaimana Dato' melihat perkembangan ini?

Dato':
Kampung adalah identiti Malaysia. Rumah kutai/ tradisional seperti Rumah Melaka, Rumah Pahang dan Rumah Terengganu adalah identiti Malaysia dan perlu dipaparkan kerana ianya cantik. M.A. Halim yang pernah bekerja di Muzium Negara ada menulis mengenai senibina Rumah Melayu. Jika rumah kutai tiada, bandar kita sama dengan bandar yang lain.


EBM: Berapa lama Dato' berkecimpung dalam bidang kartunis?

Dato':
Sudah 28 tahun. Saya bermula pada tahun 1974, di New Straits Times dengan "Since Of Malaysia Live" di Editorial Page, di mana Tan Sri Lee Siew Yee sebagai Chief Editor. Sebelum itu saya melukis di Berita Minggu setelah Pak Samad Ismail memberi saya ruangan. Oleh itu, saudara mara panggil saya LAT%85Kartun, Lat%85Kartun sehingga kini. Apabila saya balik ke kampung mereka katakan, sehingga ke tua masih melukis cuma rupa yang membezakannya.

EBM: Dalam tempoh itu apa kenangan manis yang memberi kesan ke hari ini?

Dato':
Pengalaman banyak, tetapi yang tidak boleh dilupakan adalah saya memasuki ruangan "Mari Ketawa" di mana sesiapa yang menghantar kartun atau cerita lucu dan menang akan mendapat tiket wayang percuma.Saya mula mencuba nasib pada tahun 1963 tetapi tidak berjaya. Suatu hari, sewaktu saya berada di kedai saya terlihat nama saya tertera di akhbar, dengan terketar-ketar saya membacanya dan saya beranggapan selepas ini saya akan menjadi terkenal. Selepas itu, saya banyak mendapat tawaran melukis dalam majalah kanak-kanak. Pada tahun 1967, Utusan Malaysia berganding bahu dengan Allahyarham Rejabhad dalam "Prebet Dabus" dan saya berhijrah ke Berita Harian.

EBM: Apa yang boleh disumbangkan oleh dunia kartun kerana banyak menganggap kartun adalah bahan ringan. Saya percaya Dato' bukan sekadar melukis tetapi ada mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca.

Dato':
Kartun ini banyak tujuannya bergantung pada keadaan. Jika di bidang pendidikan, kartun boleh dijadikan bahan pendidikan. Kebanyakkan papan tanda di Jepun, mesejnya dalam kartun. Bagi diri saya, kartun dapat mengeratkan hubungan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Contohnya, di kampung hubungan sesama bangsa lain rapat kerana kedudukan rumah yang berhampiran. Bangsa India dan Cina tahu apa yang boleh dimakan oleh orang Melayu sewaktu bertandang ke rumah mereka. Jika tiada sikap saling menghormati, saya rasa kita akan bertelingkah.

EBM: Masyarakat barat melihat kartun membawa sesuatu mesej, sebaliknya masyarakat di Malaysia menganggap kartun sebagai bahan ringan dengan menatap sambil lalu.

Dato':
Saya berpendapat kartun kita juga banyak membawa kesedaran. Majalah Gila-Gila, kartun Cabai dan kartun Nutt dalam sembang-sembang memang tajam, lucu dan memberi kesedaran. Itu cara mereka. Saya tidak boleh buat begitu. Nutt adalah pelukis muda yang cuba menyesuaikan diri dengan bandaraya Kuala Lumpur. Cabai adalah pelukis wanita yang karyanya lebih menjurus kepada kewanitaan. Kartun "Tiga Dara Pingitan" berkonsepkan pemikiran wanita di mana lebih mendedahkan cara hidup wanita di kampung dan bagaimana cara mereka mencari pendapatan dan ini sukar dibuat oleh kartunis lelaki. Saya rasa kartun sebegitu tidak ringan. Saya rasa kartun yang berbentuk ringan itu dilukis oleh pelukis muda yang belum matang dalam bidang ini.

EBM: Biasanya, masyarakat Malaysia berpendapat kartun untuk budak-budak tanpa memikirkan mesej di sebalik kartun itu sendiri. Apa pendapat Dato'?

Dato':
Kebanyakkan golongan pembaca terdiri daripada golongan muda. Golongan dewasa kurang berminat dengan bahan bacaan yang lucu. Saya sendiri kurang berminat dengan bahan bacaan lucu yang berada di pasaran sekarang. Bahan bacaan lucu sekarang memang mengambil young adult sebagai kumpulan sasaran mereka. Tetapi dalam majalah Gila-Gila, karya-karya yang dipaparkan memang untuk semua peringkat.

EBM: Dato' seorang yang berpengalaman. Bagaimana Dato' melihat kartun mampu menyumbang pada keselamatan, perpaduan dan keamanan negara.

Dato':
Bidang kartun/komik adalah bidang yang sesuai dalam menyampaikan mesej dari sudut keselamatan, perpaduan dan keamanan negara. Sesuatu topik kalau disampaikan dalam bentuk rencana atau buku ia akan membosankan. Bagi saya mesej itu cepat diterima apabila diubah dalam bentuk sebegitu kerana ia direct dan mudah difahami. Berkarya dalam bidang keselamatan dan perpaduan memerlukan pelukis memahami apa yang hendak disampaikan dan menggunakan pelukis tertentu iaitu pengarang dan pelukis bukan daripada orang yang sama. Biasanya, saya sendiri yang buat dan melakukan sedikit research, tidak boleh buat sesuka hati.

EBM: Nampak di sini kartunis ada dua bahagian iaitu istilah kartunis budak-budak dan kartunis yang membawa isu serius. Perkembangan kartun di Malaysia, kelihatan bergantung pada kartunis yang senior.

Dato':
Saya rasa mereka tidak bergantung dengan kartunis senior, tetapi citarasa pembaca yang berubah. Kalau nak saya ketawa, saya perlu membaca majalah humor yang menceritakan kisah lama/kampung.

EBM: Kartunis perlu sensitif pada kehendak pembaca dan perlu melengkapkkan diri dengan citarasa baru.

Dato':
Saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dan saya gunakan pengalaman lama untuk berhubung dengan dunia hari ini.

EBM: Pernahkan Dato' merasakan bahawa melalui karya, Dato' telah memberi sumbangan dalam perpaduan atau memberi satu gambaran pada orang luar tentang masyarakat Malaysia.

Dato':
Semasa melukis saya tidak fikirkan itu semua, saya fikir apa yang hendak disampaikan dan ikhlas. Saya harap ada orang membaca karya saya. Kalau karya itu ditulis dalam Bahasa Inggeris, sudah tentu ramai yang membacanya. Pada Tahun 1979, buku "Kampung Boy I" ditulis dalam Bahasa Inggeris. Saya buat sedemikian supaya orang luar negeri dapat berkongsi pengalaman yang sama dengan saya, walaupun ceritanya biasa sahaja. Bagi saya setiap persamaan, akan mengeratkan hubungan dan perbezaan akan mewujudkan jurang.

EBM: Dato' juga menggunakan Bahasa Inggeris dalam berkarya. Saya rasa Bahasa Inggeris Dato' di tahap bagus kesan daripada pendidikan di zaman kolonial.

Dato':
Bahasa Inggeris saya biasa sahaja. Untuk kartun, memerlukan Bahasa Inggeris yang mudah kerana masyarakat tidak banyak masa untuk membaca. Di dalam akhbar, diperuntukkan selama tiga minit untuk satu ruangan kartun. Kalau pembaca itu tersenyum, menandakan kartunis telah berjaya menarik perhatian pembaca.

EBM: Adakah Dato' berpendapat penguasaan Bahasa Inggeris dapat membantu Dato' untuk sampai ke peringkat antarabangsa.

Dato':
Yalah, secara kebetulan. Pada zaman 50-an saya bersekolah di sekolah Melayu /Umum, selepas itu saya bersekolah di Sekolah Inggeris. Ketika itu guru yang mengajar saya, Ms. Yew, yang saya lukis dengan pemakaian cermin mata butterfly. Beliau mengajar saya selama dua tahun dalam darjah empat dan lima dan merupakan guru yang paling garang.

EBM: Bagaimana bidang kartun hari ini menunjukkan perkembangan yang positif atau sekadar cari makan sahaja.

Dato':
Apa sahaja kerja yang kita lakukan bertujuan untuk mencari nafkah. Dalam bidang kartun, kita tak dapat layanan dan bayaran yang setimpal dan murah. Oleh itu, kartunis berusaha untuk meningkatkan mutu kerja. Oleh itu kartunis, perlu mengurus diri supaya mendapat tumpuan daripada pihak penerbit dan majikan.

EBM: Dato' tidak bercita-cita untuk merakamkan
karya Dato' kepada filem seperti Lat The Movie

Dato':
Saya tidak pernah terfikir. Adik saya, Mamat ada membuat movie.Tujuan saya balik ke Ipoh adalah untuk lari daripada tawaran-tawaran melukis. Tetapi nampaknya kerja mengikut kita di mana-mana. Untuk masa sekarang ini, saya mendapat tawaran daripada orang Amerika untuk mengambil bahagian dalam kempen kesedaran kesihatan di Bangkok di mana melibatkan kartunis di seluruh dunia. Ebm

Comments

L-Dee said…
Salam,
Saudara Latif, terima kasih kerana telah mempamerkan temubual bersama Dato' LAT ini. Saya amat meminati beliau dan saya meminta izin untuk menggunakannya sebagai bahan rujukan dalam penulisan mengenai tokoh negara untuk menyempurnakan tugasan saya. tq
Anonymous said…
bagaimana saya nak hubungi dato lat ye?
Unknown said…
Assalamualykum, saudara, terima kasih atas usaha muat naik temubual ini. Boleh saya tahu di mana saya boleh dapatkan transkripsi rasmi temubual ini?

Popular posts from this blog

Tradisi Dan Perubahan:

Tradisi Dan Perubahan: Ekspresi Kendiri Dalam Aliran Modernisme Malaysia. Oleh Mohamed Ali Abdul Rahman (Pensyarah Kanan Jabatan Liberal) M.A. (Arts History and PRints) M.A. Edu. USA. B. A (Hons) USM. Cert Ed. (KPM) I. Pengenalan Seniman Malaysia, generasi abad kedua puluh satu yang mengikuti aliran modernisme dan pasca modernisme akan menilai semula nilai peribuminya dalam konteks baru dan dengan pandangan lebih segar. Penilaian mereka mungkin tidak lagi bersandar kepada nilai-nilai yang pernah digunakan dalam masyarakatperibumi zaman tradisi dan mereka menganggap nilai-nilai tersebut sebagai ketingalna zaman ketika itu. Sebab-sebab utama nilai tersebut dilupakan kerana ia mungkin digunakan atau diamalkan lagi. Mereka lebih suka memberikan nafas baru kepada seni peribumi yang didapati dari sumber peninggalan warisan zaman dan petikan kesasteraan tradisi. Seniman dari masyarakat peribumi mungkin tidak keterlaluan sepert seniman barat yang melupakan terus institusi-institusi keagamaan

PENERIMAAN & PENGIKTIRAFAN: Teknologi Elektronik Sebagai Alatan & Media Baru Dalam Seni Visual.

PENERIMAAN & PENGIKTIRAFAN: Teknologi Elektronik Sebagai Alatan & Media Baru Dalam Seni Visual. Wan Jamarul Imran B. Wan Abdullah Thani Abstrak T eknologi elektronik; tempias teknologi maklumat dan agen transportasinya telah mula menular di dalam perkembangan seni tampak. Ia bakal dan akan menjadi aliran baru yang mampu memberi perubahan dan transformasi kepada pengucapan berkarya. Jika dilihat pengamal seni di Malaysia masih lagi takut untuk melakukan sedikit anjakan evolusi minda. Hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul tidak seharusnya diketepikan tetapi perlu dikembangkan. Sekarang ini komputer, perisian dan skrin elektronik mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya. Melalui kesepaduan seni dan teknologi terkini boleh menguju

Lukisan Bayu papar soal kemasyarakatan

DALAM angkatan pelukis muda, nama Bayu Utomo Radjikin bukanlah asing lagi. Baik dalam seni arca, figura, realisme dan abstrak, Bayu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Selepas arca karyanya yang berjudul ‘Bujang Berani’ memenangi hadiah dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Lukis Negara (BLSN) pada 1991, Bayu tidak menoleh ke belakang lagi. Bidang yang pada asalnya hanya sekadar hobi berubah menjadi kerjaya. “Sejak kecil hobi saya melukis. Saya memang tidak pernah terfikir ia akan menjadi kerjaya saya suatu hari nanti. Apa yang saya tahu ketika itu segala emosi saya luahkan menerusi lukisan ,” kata pelukis berasal dari Tawau, Sabah ini. Ekoran minat yang tinggi dalam bidang lukisan , selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia memasuki Institut Teknologi Mara (ITM) (sekarang UiTM) bagi menyambung pengajian dalam bidang seni halus. “Apabila ia menjadi kerjaya, kepuasannya berlainan. Bidang yang saya minati sejak kecil hingga sanggup melupakan