FAUZIAH memilih motif haiwan sebagai bahan untuk berkarya.
FAUZIAH Harun, pelukis di Perkampungan Pelukis, Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur. Beliau meneroka lukisan batik di atas kertas dan karya beliau mendapat tempat di hati orang kenamaan negara ini di samping turut menjadi koleksi peminat seni luar negara. Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, SHAIDAH SHAFIE, dengan beliau.
MENGAPAKAH Fauziah memilih motif haiwan sebagai bahan untuk berkarya?
Saya sememangnya sayangkan haiwan khususnya kucing. Di rumah saya memelihara 10 kucing. Selain kucing, cicak, gajah, kura-kura, rama-rama, penyu dan katak pernah mendapat tempat dalam karya saya. Sifat sayangkan haiwan ini menebal dalam diri dan mendorong saya mengangkat spesies berkenaan ke dalam karya saya.
Fauziah memilih batik di atas kertas. Tidak teringinkah mencorakkannya di atas kain dan bertukar kepada motif lain?
Batik di atas kertas lebih cepat dan senang menghasilkannya. Lagi pun saya jarang bertemu batik di atas kertas. Bertitik tolak daripadanya saya terfikir mencuba teknik batik di atas kertas. Setakat ini batik di atas kertas karya saya mendapat sambutan daripada peminat seni lukis tempatan mahupun pelancong asing. Buat masa ini saya akan bertahan dengan teknik ini. Nampaknya saya selesa dengan kucing dan cicak. Hendak mengangkat bunga ke dalam karya, ia sudah terlalu biasa. Begitu juga dengan pemandangan. Mungkin suatu hari nanti saya beralih kepada kumbang atau unggas yang difikirkan comel dan menarik.
Kebanyakan karya Fauziah berwarna terang. Mengapakah demikian?
Saya memilih warna terang untuk memberi impak ceria kepada khalayak. Tambahan pula saya tidak suka bermain dengan warna suram. Pada saya warna dalam kelompok terbabit memberi semangat tersendiri untuk saya terus berkarya. Bagaimanapun ada juga kombinasi warna yang saya adun menimbulkan kesan meresahkan pada kerja melukis dan saya tidak akan mengulanginya. Kata orang bermain dengan warna tidak salah tetapi warna batik lazimnya terang dan bertenaga.
Apakah masalah yang sering Fauziah hadapi dengan bahan tara ini?
Selalunya tiada masalah besar. Bagaimanapun jika berlaku kerosakan, secara tidak langsung pembaziran berlaku. Saya melukis menggunakan sejenis pen khas dan dakwatnya ialah cecair yang apabila kering, boleh ditarik seperti getah. Melukis batik di atas kertas memerlukan kepantasan kerana dakwatnya cepat beku. Begitu juga ketika mewarna. Saya tidak boleh teragak-agak meletakkan warna. Jika pergerakan saya lambat, berus dan kertas akan menjadi kembang serta hasilnya tidak cantik. Menjadi tabiat saya menyimpan kertas lukisan yang rosak sebagai koleksi peribadi.
Lazimnya sesebuah lukisan berukuran besar dapat disiapkan dalam masa berapa hari?
Selalunya dua hingga tiga hari dan ia bergantung kepada elemen cuaca. Untuk saiz kad ucapan, saya boleh menyiapkan dalam jumlah yang banyak kerana ia kecil dan cepat kering.
Pernahkah Fauziah menerima pendidikan formal dalam bidang seni lukis?
Tidak pernah. Saya bermula dengan melukis di atas seramik. Kemudian di atas kaca, bingkai gambar, tempurung, batu dan kain. Ketika ini saya bekerja di sebuah kedai aksesori di Taman Tun Dr Ismail. Pemilik kedai berkenaan berbangsa Cina dan menyuruh saya belajar melukis di atas aksesori wanita. Sejak itu saya mula berminat melukis di atas bahan kecil seperti anting-anting, piring, balang kaca dan lama kelamaan minat itu bertambah konsisten. Saya belajar sedikit demi sedikit dan berusaha meningkatkan pencapaian diri. Kesungguhan mencuba dan berusaha meninggalkan kesan memberangsangkan kepada kerjaya saya kini. Saya membuat keputusan berhenti berkerja dan berusaha melukis menggunakan teknik batik di atas kertas yang kini menjaya kerjaya saya sepenuh masa.
Apakah Fauziah pernah mengadakan pameran di luar negara? Siapakah pembeli karya Fauziah?
Setakat ini saya hanya berpeluang mengadakan pameran di dalam negara. Bagaimanapun ia tetap pencapaian yang membanggakan kerana ada karya saya yang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Antara pembeli karya saya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Datin Seri Hendon Mahmood. Saya bernasib baik kerana ada pelanggan tetap. Ada sebuah keluarga dari Amerika Syarikat yang meminati karya saya dan akan menempahnya pada setiap Krismas untuk dijadikan sebagai kad Krismas. Selain itu, ada beberapa individu yang membeli untuk koleksi mereka sendiri. Selain lukisan, saya juga menghasilkan kad ucapan. Remaja dan kanak-kanak yang dibawa ibu bapa memang gemar lukisan bersaiz kad.
Nampaknya Fauziah ada pelanggan tetap. Tidak teringinkah membuka galeri?
Mungkin itu kelebihan saya. Ke mana saya bawa dan pergi, khalayak kenal karya saya berdasarkan objek dan warna. Membuka galeri adalah impian semua pelukis. Saya perlu menggali lebih pengalaman, mengumpul modal dan menarik minat pelanggan. Pengetahuan mengendalikan galeri juga penting dan ia sebenarnya tidak semudah yang dibayangkan. Insya-Allah.
Dipetik dari http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Sastera
Comments