Skip to main content

PENERIMAAN & PENGIKTIRAFAN: Teknologi Elektronik Sebagai Alatan & Media Baru Dalam Seni Visual.

PENERIMAAN & PENGIKTIRAFAN: Teknologi Elektronik Sebagai Alatan & Media Baru Dalam Seni Visual.

Wan Jamarul Imran B. Wan Abdullah Thani

Abstrak

Teknologi elektronik; tempias teknologi maklumat dan agen transportasinya telah mula menular di dalam perkembangan seni tampak. Ia bakal dan akan menjadi aliran baru yang mampu memberi perubahan dan transformasi kepada pengucapan berkarya. Jika dilihat pengamal seni di Malaysia masih lagi takut untuk melakukan sedikit anjakan evolusi minda. Hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul tidak seharusnya diketepikan tetapi perlu dikembangkan. Sekarang ini komputer, perisian dan skrin elektronik mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya. Melalui kesepaduan seni dan teknologi terkini boleh mengujudkan kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi hadapan. Sekaligus tranformasi seni ini boleh dijadikan pemangkin kepada pendidikan dan pengajaran. Tidak dapat dinafikan generasi sekarang dan akan datang telah dan terus terdedah kepada perkembangan teknologi dunia.

Pengenalan

Manusia tidak pernah berhenti pada satu keadaan. Begitu juga perkembangan pemikiran, ide, aliran dan falsafah. Terciptanya sesuatu yang baru sekarang ini bukanlah bermula dari tiada tetapi ia sebenar ianya diberi pembaharuan yang lebih maju dan berteknologi. Di zaman sekarang tenaga elektrik menjadi keperluan utama manusia dalam kehidupan seharian. Ia mengerakkan perkakasan elektronik sekaligus menjadi tenaga menghidupkan zaman teknologi. Rata-rata manusia mengaitkan teknologi dengan elektonik. Jadi ini adalah hakikat teknologi sekarang. Mungkin ianya berbeza 50 ataupun 80 ataupun beratus tahun dahulu dimana semasa teknologi tidak berasaskan elektronik.

Menurut Alvin Toffler manusia sekarang ini sedang melalui proses gelombang ketiga. Apa penentu gelombang ketiga? Sukar dan payah untuk menentukan faktornya selain daripada yang dapat dikaitkan dengan rantaian atau hubungan teknologi. Menurut beliau lagi, manusia telah melalui gelombang pertama yang melahirkan masyarakat pertanian dan gelombang kedua yang melahirkan masyarakat industri berat. Dan dalam gelombang ketiga ini tidak dapat dipastikan manusia sudah sampai ditahap mana. Peralihan yang berlaku didalam proses gelombang ketiga adalah hasil dari pembaharuan kehidupan, pemikiran, informasi serta konflik gelombang pertama dan kedua.

Revolusi ini memberi kesan yang kuat keatas corak kehidupan moden samada sistem cara hidup ataupun nilainya. Revolusi ini juga mencetus perubahan serta anjakan dalam segala bidang termasuklah seni.

Ini merupakan kajian luaran bagi melihat sambutan masyarakat dan pengkarya terhadap peralihan zaman teknologi elektronik. Adakah masyarakat, para ilmuan dan pelukis Malaysia menerima teknologi dalam seni ataupun gabungan seni dan teknologi sebagai suatu keluarga atau ketogari baru dalam seni? Atau payahkah seni dan teknologi ini untuk dihasilkan di dalam konteks persekitaran budaya Malaysia? Terancamkah segala keunggulan seni tradisi bangsa dan seni konvensional yang selama ini diagung-agungkan? Walaubagaimanapun kita akan mengikut hanya apabila yang diterokai oleh Barat atau Eropah diiktiraf.

Apa yang dapat dilihat di sini bahawa teknologi elektronik yang digunapakai hari ini dapat menambahkan kecenderungan kepada jumpaan-jumpaan baru oleh para pelukis, mempelbagaikan media dan proses seni, dan melihat kesan yang boleh diperolehi daripada gabungan kedua-dua unsur tersebut iaitu seni dan teknologi.

Perkembangan Teknologi & Seni

Menyedari akan kesan hasil dari perkahwinan antara seni dan teknologi. Keghairahan melayari zaman teknologi mengajak generasi baru pengamal seni serta pengkarya seni atau mereka yang inginkan pembaharuan sama-sama menjadikan inovasi teknologi terkini sebagai suatu pengucapan seni bentuk baru. Anjakkan demi anjakkan, eksplorasi demi eksplorasi dan sempadan seni mula dicabar dan dilebarkan. Percubaan-percubaan ini benar-benar mencabar pendekatan penyampaian seni dewasa ini.

Dalam seni juga berlaku perubahan dan perkembangan dan ianya dianggap bergerak seiringan dengan kemajuan teknologi dunia, hasil dari perkembangan revolusi perindustrian dan mesin. Ramai pengkarya telah cuba menjadikan objek sebagai sebahagian daripada objek seni dengan menafikan tujuan sebenarnya (dematerialize). Menyingkap perkembangan awal, percubaan mengabungkan seni dan teknologi ini telah lama bertapak hasil kutipan dan pembaharuan dari pembawakan aliran dadaisma dan konstrukturvisma oleh Duchamp, Laszlo Moholy-Nagy, Man Ray dan Alexander Calder. Juga gerakan awal dari beberapa kumpulan seni seperti ZERO di Jerman 1957 dan Groupe de Recherche d’ Art Visuel (GRAV) di Perancis 1960. Karya yang dihasilkan lebih bersifat arca kinatik yang kelihatan seperti mesin. Tetapi perkembangan ini sukar diterima sehinggalah dalam tahun 60an seni dan teknologi ini dimashyurkan di Amerika. Bergerak seiring dengan lain-lain aliran seperti Pop Art yang cenderung memperkatakan tentang kehidupan kontemporari dan Conceptual Art yang bermain dengan pemikiran-manipulasi minda dan falsafah yang kadangkala bukan bersifat seni. Dalam tahun 1966 Experiments in Art and Technology ditubuhkan memperlihatkan kerjasama antara saintis dan pelukis. Perkembangan seni ini membawa suatu pengucapan baru dalam persembahan dan aliran seni tampak. Kepelbagaian elemen yang melibatkan cahaya dan kinatik ditampilkan. Keghairahan menjadikan mentol serta lampu elektrik sebagai medium baru ditampilkan dalam karya-karya Dan Flavin (Green Crossing Green, 1966) dan Bruce Nauman (Green Light Corridor, 1970).

Kepesatan dunia sains dan teknologi yang bermaharajalela mewarnai kehidupan kontemporari telah mencetuskan suatu bentuk medium dan penyampaian baru. Penampilan bentuk seni 4 dimensi memberi banyak altenatif kepada pengamal seni. Video dan filem berkembang sebagai penyampai baru seni tampak yang agak konsepsual.

Kemunculan seni berbentuk ‘motion’ yang dikenali seni video menjadi suatu peralihan baru terhadap orentasi teknologi. Seni video melibatkan ‘masa’ malah tidak bersifat statik seperti catan, arca ataupun foto. Peralatan seperti monitor televisyen atau projektor dan peralatan video menjadi sebahagian dari orentasi objek seni. Nam June Paik pengamal seni yang amat cenderung dengan penggunaan elektronik dalam karyanya mampu mengutarakan pelbagai persoalan dan maksud (TV Buddha 1974-82, V-yramid 1982). Beliau dianggap pelopor seni video dunia, cuba memperlihatkan bagaimana propaganda yang disalurkan melalui media ini telah berjaya menguasai serta menembusi pemikiran manusia dalam kehidupan, budaya, kepercayaan, bangsa dan agama.

Marshall McLuhan seorang ahli sosiologi mengganggap “The medium is the message[1]

Bagi beliau setiap bahantara itu mempunyai atau memberi gaya komunikasinya sendiri melalui penstrukturan maklumat dan imbangan deria.

Jika dilihat perubahan dan perkembangan seni dan teknologi ini tidak langsung menjejaskan bahasa dan tatabahasa seni tampak. Perletakan elemen formalistik seni dan konteks serta isinya masih lagi dalam aturan yang sama. Jelas sekali para pelukis tidak mengabaikan atau mengenepikan elemen-elemen seperti garisan, rupa, bentuk, ruang dan sebagainya termasuklah komponan lain seperti imbangan, harmoni, ulangan dan sebagainya. Cuma teknik dan gaya pengucapan atau penyampaian sahaja yang berlainan.

Di Malaysia hanya segelintir sahaja pengamal seni seperti Hasnul_Jamal_Saidon, Wong_Hoi_Chong, dan Kungyu_Liew yang berani membawa pendekatan seni elektronik ini. Terdapat usaha yang dijalankan oleh Balai Seni Lukis Negara untuk membantu dalam mengenengahkan perkembangan seni elektronik ini seperti menganjurkan Video Art Festival 1994 yang menampilkan kepelbagaian pelantar katogari teknik dan proses.

Melalui pameran solo Hasnul Jamal Saidon, Hyperview (1997) cuba menggabung beberapa pendekatan seperti kolaj digital, seni video, seni interaktif multi-media, komputer animasi dan juga lukisan dan catan. Menerusi kepelbagaian ini telah memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan bahawa teknologi tidak mengasingkan seni malah mampu bekerjasama sebagai proses ataupun orentasi objek seni.

Selain itu, pameran Ekplorasi 1997 yang diadakan di Galeri Petronas juga berdasarkan penampilan perkongsian teknologi dan seni. 1st_Electronic_Art_Show 1998 yang julung-julung kali dibuat oleh Malaysia merupakan satu lagi usaha Balai Seni Lukis Negara dalam usaha meneruskan perkongsian teknologi dan seni. Kemudian Bahagian Kajian Sains Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dengan Balai Seni Lukis Negara, Kementerian Kesenian, Kebudayayan dan Pelancongan menganjurkan ALAMI (1998) dimana cuba menyatukan antara teori dan praktis pemikiran sains dan seni.

Gabungan antara teknologi dan seni boleh dilihat sebagai pendekatan yang bersifat kesepaduan, multi –disiplin dan integrasi yang akan menyentuh terhadap soal-soal budaya, sosial, ugama, dan bangsa. Ini menjadi soal penting dalam menentukan kejayaan mengujudkan identiti Malaysia melalui gabungan seni dan teknologi.

Revolusi Teknologi Tinggi

Kewujudan revolusi teknologi tinggi ini dilihat sebagai suatu bentuk peluang penerokaan baru oleh para pelukis. Tidak dapat dinafikan generasi sekarang dan akan datang telah dan terus terdedah kepada suatu perkembangan zaman teknologi dunia. Rata-rata manusia memperkatakan dan cuba menempatkan diri mereka dalam zaman ini. Manusia menganggap zaman ini merupakan zaman Information Technology ataupun Teknologi Maklumat.

Masyarakat maklumat semestinya dikuasai oleh maklumat dan teknologi maklumat, seperti masyarakat perindustrian dikuasai oleh jentera, injin pembakaran serta robot. Sekiranya demikian masyarakat maklumat pasti berbeza daripada yang ada sekarang kerana revolusi industri yang berasaskan maklumat, teknologi maklumat, dan teknologi komunikasi akan melahirkan revolusi industri yang baru yang kesannya tentulah lebih besar dan mendalam berbanding dengan revolusi industri abad ke 19.[2]

Melalui teknologi tinggi memungkinkan informasi bergerak tanpa had dan sempadan. Segala-galanya segera dan pantas. Disebabkan keinginan manusia berkehendakan atau bertukar atau mengetahui maklumat dengan segera, pantas dan cepat amat tinggi. Maka melalui elektronik sesuatu maklumat dapat disalurkan dan disampaikan dengan cepat. Seperti mana surat berpos hari ini bersaing dengan e-mel yang jauh lebih pantas. Malah profesyen, sosial, perniagaan, pendidikan dan sebagainya sudah boleh berlaku secara atas talian (on-line) dan maya (virtual). Kemajuan ini mampu menjimat masa dan gunapakai tenaga. Tranportasi dan tranformasi maklumat bergerak dan berlaku dalam ruang siber atau maya yang tiada lokasinya, digerakkan oleh peralatan komputer.

Dalam zaman perkomputeran; perkakasan dan perisiannya adalah merupakan teknologi canggih yang utama yang mampu menyalurkan berjuta-juta informasi dalam pada masa yang sama. Maklumat ini disalurkan melalui jaringan atau internet. Maklumat Internet sudah menjadi bahan rujukan manusia. Kepelbagaian gunapakai Internet diperluaskan. Kepesatan dan kepenggunaan teknologi sudah dianggap universal dan membawa bersama implikasi jangka pendek atau jangka panjang, implikasi yang akan disedari sekarang atau akan datang. Kekuatan yang ada pada komputer kerana ia mampu memberi interaksi dua (2) hala samada informasi dan lain-lain kepelbagaian guna. Tidak seperti televisyen dan radio hanya memberi informasi satu (1) hala dan begitu juga telefon dan faksimili yang hanya menjadi alat komunikasi sahaja. Pun begitu, sekecil mana keperluan sesuatu peralatan elektronik itu ia tetap menyumbang kepada aliran teknologi dunia. Teknologi tinggi dan baru ini mampu menjadi budaya hidup bagi generasi akan datang sebagai suatu keperluan.

Dengan pengaruh zaman teknologi elektronik ke atas kehidupan inilah, adanya kecenderungan para pelukis untuk meneroka dan mencuba teknologi ke atas seni pula. Kini telah banyak peralatan dan objek yang berteknologi elektronik telah digunapakai oleh para pelukis. Penampilan secara pendekatan eksperimentasi menjadikan para pelukis berani menggunakan perkakasan elektronik seperti telefon, mesin faks, mesin fotokopi, ‘overhead projector’, ‘slide projector’, perkakasan komputer, kamera video secara langsung dan sebagainya. Pada peringkat awal televisyen dan fungsinya itu sendiri diperkenalkan bukanlah sebagai suatu kegunaan seni, begitu juga dengan teknologi komputer ataupun pancaran laser pada asal fungsinya adalah untuk kegunaan saintifik. Walau bagaimanapun, perubahan fungsi alatan-alatan ini kepada kegunaan seni berlaku berdasarkan rasional dan relevan para pelukis terhadap zaman. Seperti contoh Nam June Paik menggunakan video dan televisyen kerana beliau menganggap media massa elektronik sebagai penyampai dan penyalur propaganda. Oleh itu, beliau telah menukar persepsi umum terhadap alatan-alatan tersebut.

Penglibatan teknologi dalam seni terbahagi kepada dua iaitu sebagai alatan dan sebagai objek seni. Dalam alatan ia berlaku sebagai proses atau persediaan - peralatan, bahan, dan teknik. Pada peringkat ini keperluan, perlaksanaan dan proses penghasilan seni diambil kira sebagai alatan. Dalam objek seni ia berlaku sebagai keseluruhan pengucapan, kaedah penyampaian ataupun penampilan. Ini bermakna keseluruhan peralatan dianggap sebagai sebahagian seni itu sendiri. Cuma pada hakikatnya manusia disempitkan oleh definasi teknologi itu sendiri. Ramai yang menerima teknologi baru tetapi tidak ramai yang benar-benar dapat mengadaptasikan diri dengan praktik barunya ataupun lebih bersifat luaran sahaja.

Peralihan Ke Teknologi Komputer

Apabila berlakunya peralihan kepada penggunaan teknologi komputer maka kepelbagaian media diperkayakan dan proses dapat diperkembangkan.

“As collage technic replaced oil-paint, the cathode-ray tube will replace the canveses,” said Paik[3]

Kini elektronik dikaitkan dengan komputer, sememang hampir keseluruhan peralatan elektronik sekarang ini dicipta mempunyai keupayaan pemperosesan seperti komputer. Ini berlaku dengan adanya microchip dan microprocessor. Pada dasarnya hanya generasi baru atau generasi yang berorentasikan teknologi tinggi saja yang ghairah atau cenderung terhadap komputer dan keupayaannya. Kerancakan menghadapi alaf baru dan teknologi canggih menjadi lebel generasi sekarang, generasi siber. Teknologi perkomputeran sudah menjadi suatu bentuk globalisasi. Kita dapat melihat tempias teknologi tinggi dan egen transportasinya telah mula menggerakkan seni dalam bentuk penyampaian yang baru.

Senario di negara kita terhadap perkembangan ini adalah amat baru, kita hanya mengikut. Jika dilihat pengamal seni dan pengkarya seni di Malaysia masih lagi menafikan cabaran baru ini. Mungkin kerana orientasi awal, atau technofobia ataupun mentaliti kita yang takut untuk membuat anjakan evolusi minda. Sememangnya merintis kepada suatu yang baru bukannya mudah. Jika bernasib baik kita unggul, jika tidak berlakulah kontroversi atau dipinggirkan.

Di Malaysia Allahyarham Ismail_Zain merupakan dan boleh dianggap sebagai pelopor kepada perkembangan seni digital di Malaysia (Vincent-1988, Nasyid-1988). Proses penghasilan karya-karya ini dibuat dengan komputer dan dicetak keluar dari mesin pencetak komputer. Perluasan terhadap seni elektronik dan seni digital hasil daripada kepesatan penggunaan komputer sedikit sebanyak dilihat mencemaskan pengamal seni konvensional. Ada yang merasakan penampilan ini menggugat sekaligus ia dianggap bukan lahir sebagai suatu bentuk seni yang unggul.

Penglibatan elektronik dan komputer ini bukanlah terus menerus menolak atau mencabar hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul sejak dari zaman Renaisance. Tetapi melihat keupayaan teknologi komputer, aplikasi perisian, skrin elektronik, gelombang atau pancaran cahaya elektronik bahkan terkini Internet ini mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya didalam berbagai katogari pelantar seni.

Sememangnya pada peringkat awal perkembangan seni komputer, hasilnya dilihat sebagai output dari rekaan grafik atau dikenali sebagai computer graphic design. Bagi sesetengah pengamal seni, komputer hanya sebagai alatan untuk perekaan (design tool). Komputer dianggap sebagai ‘pembantu’. Bagaimanapun Harold Cohen seorang pelukis menjadikan komputer sebagai ‘pelukis’ dengan membina program sendiri. Beliau mengubah strategi penggunaan komputer dari pembuat imej kepada pencipta seni.

Maksimum gunapakai komputer tidak lagi dilihat terhad kepada bebanan sains sahaja. Malah komputer sudah menjadi universal. Dalam hubungan dengan seni kepenggunaan komputer terbahagi kepada beberapa bahagian; untuk penghasilan filem atau video, penghasilan arca maya, menghasilkan seni persekitaran, cakera optikal atau video dan informasi atau telekomunikasi.

Computer Art is an outgrowth of both the visual art studio and the computer science department.[4]

Kebanyakan hasil seni elektronik dan seni komputer ini berlandaskan kreativiti teknologi. Penghasilan seni elektronik dan seni komputer yang bersifat multimedia yang mampu berinteraksi dapat mendekatkan antara penonton dan pengkarya. Kini komputer dimajukan dengan otak palsu (artificial intelligent) yang mampu berinteraksi secara spontan atau langsung. Otak palsu ini mewakili satu lagi perubahan paradigma terhadap fenomena digital sejagat. Ia berkeupayaan berfikir seperti mana manusia berfikir. Dalam hal ini interaksi berlaku antara manusia dan elektronik. Seni realiti maya (virtual reality) adalah salah satu daripada kemajuan otak palsu dianggap seni yang tiada bentuk, fizikal, jasad atau badan. Pengkarya mampu beroperasi tanpa tapak khusus atau penyampaian yang tiada orentasi objek seni. Hasilnya berkisarkan kepada proses yang dilalui sendiri oleh penonton. Penonton mengalami hanya secara ilusi. Pengalaman dari seni realiti maya ini adalah proses interaksi yang dirangsang oleh otak akibat dari persepsi tampak.

Kepesatan teknologi maklumat pantas ini juga, mengizinkan sesebuah hasil seni itu berada dalam ruang pameran secara serentak (tele), atas talian (on-line) dan maya (virtual). Ataupun berlakunya penghasilan dan pengucapan seni melalui Internet (net art). Melalui seni Internet orentasi objek seni tidak berlaku tetapi dapat dilihat sebagai suatu bentuk maklumat. Seni Internet ini mendekat perhubungan antara pengkarya dengan masyarakat, pemerhati atau penonton. Selain dari itu dapat memudahkan komunikasi yang terbuka, spontan dan adil diantara lain-lain pengamal seni atau peminat seni dari pelbagai bangsa, budaya dan agama. Melalui komunikasi Internet berupaya menjadikan kita sebagai golongan antarabangsa. Besar kemungkinan pengucapan seni akan datang bergerak dan ditampilkan di atas landasan internet.

Hari ini Internet dilihat dapat membantu dalam mengatasi masalah ruang pameran yang terhad dan beban pengurusan fizikal karya. Kini informasi dan aktiviti seni boleh diperolehi melalui Internet tanpa batasan.

Kepesatan teknologi komputer turut sama terhasilnya aplikasi perisian yang yang menyumbang kepada seni dan kreativiti.

The current development in hardware and software design has democratized the accessibility of machines capable of manipulating images digitally.[5]

Dengan aplikasi perisian ini memungkinkan kemajuan kreativiti dimana mampu memperbaiki dan memantapkan nilai-nilai artistik manusia. Aplikasi perisian lebih bersifat sebagai metafora peralatan. Penggunaannya berteraskan kepada operasi logik (logical operation). Pemprograman yang dimajukan dalam penciptaan aplikasi perisian kini secara tidak langsung bertindak sebagai guru elektronik. Kini seni video juga telah dibantu oleh komputer bagi tujuan animasi, interaktif dan sebagainya. Lebih menarik lagi ia dimuatkan dalam cakera padat sebagai suatu bentuk penyampaian interaktif multimedia.

Oleh itu teknologi tinggi dan komputer tidak sewajarnya dianggap sebagai peralatan semata- mata kerana ia juga boleh bertindak sebagai penyataan maklumat yang abstrak. Banyak kemungkinan perlaksanaan seni dapat dilakukan oleh komputer. Perkembangan ini merupakan lanjutan (extension) dan kembangan (expansion) terhadap media dan proses. Kebanyakkan program seni di institusi pendidikan di Barat dan Eropah telah mengujudkan kursus-kursus ‘lanjutan’ ini disamping masih mengekalkan dan meneruskan kursus-kursus yang berorentasikan media konvensional dan tradisional.

Peralihan ini perlu dilakukan pendedahan positif secara pendidikan. Di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS cuba dan telah mengujudkan beberapa kursus yang menjadi ‘lanjutan’ dalam usaha memberi pendedahan pendidikan seni yang menggabungkan seni dan teknologi. Di atas dasar perkahwinan antara seni dan teknologi inilah beberapa penerokaan, lanjutan, pembaharuan dan perkembangan gaya pengucapan tampak dihasilkan. Ini dapat dilihat didalam pameran CIPTA yang diadakan oleh pelajar Universiti Malaysia Sarawak seperti karya oleh Helena Song (The_Beginning Is The End Is The Beginning… - 1998).

Ting Ting Hock (Global_Village - 1999), John Hii Ing Kieng (Privacy Online - 2000). Ketiga-tiga karya ini merupakan instalasi seni multimedia interaktif yang boleh membina pengalaman interaksi antara pelukis, karya dan penonton. Mereka cuba mempelbagaikan bentuk pengucapan dan dilanjutkan sebagai seni internet (net art). Lanjutan seni mereka telah dirangkaikan kepada laman Internet. Seni Internet bersifat global dan boleh dilihat oleh sesiapa tanpa perlu pergi dan berada ditempat yang sebenar.

Perkomputeran telah memudah, meringkas dan mempercepat perlaksanaan kerja seni. Malah lain-lain peralatan teknologi tinggi seperti pancaran laser, hologram mungkin satelit digunakan bersama komputer untuk penghasilan dan penampilan proses seni.

Kesimpulan

Senario di Malaysia; sesetengah pengamal seni meletakkan jurang yang besar diantara seni dan teknologi. Ini menyebabkan sukar untuk melahirkan kemungkinan baru dalam pengucapan tampak. Disamping itu penerimaan masyarakat mengakui perkembangan kesenian yang mampu disatukan oleh teknologi amat mengecewakan. Mungkin kurang kesedaran dikalangan pengamal seni mahupun masyarakat bahawa yang digunakan sekarang adalah teknologi lalu.

Inovasi teknologi telah lama wujud sejak zaman gua batu lagi. Kita mungkin tidak mengganggapnya begitu kerana kita tidak langsung sama sekali melaluinya. Contohnya apa yang dicipta oleh manusia zaman batu seperti senjata, peralatan harian adalah suatu inovasi teknologi dimasa itu begitu juga di zaman pertanian dan di zaman industri. Dan dari masa-kesemasa inovasi teknologi ini berubah dan mengalami pembaharuan disebabkan evolusi perkembangan dan pemikiran manusia yang inginkan perubahan dan kemajuan. Menjadikan teknologi tinggi elektronik sebagai orde baru dunia.

Dan kita tidak perlu risau alatan dan media konvensional yang ada tetap akan unggul meskipun seni berasaskan elektronik dan seni teknologi komputer mampu mengembangkan kepelbagaian pengucapan seni tampak. Usaha ini dilihat bagi memperluaskan dan memperkayakan teknik, proses, bahantara, bahan dan aliran seni.

Dengan kesedaran ini dapat dilihat teknologi mampu mengembangkan kepelbagaian pengalaman dan aktiviti manusia. Dimana boleh menjadi dan membina nilai artistik dalam keharmonian kehidupan masyarakat dunia. Walaupun keupayaan teknologi tinggi dapat mengatasai keupayaan manusia, tetapi ia masih tidak menyempitkan dan memisahkan nilai kemanusiaan. Jelas disini teknologi dan seni boleh digabungkan, perlu-merlukan, ada perhubungan antara satu sama lain – ada teknologi dalam seni dan dan ada seni dalam teknologi. Dalam hal ini juga kita tidak mahu mereka yang technoscience menganggap ini sebagai ‘kesenian teknologi’ semata-mata (the art of technology). Kita boleh lihat di sini berlakunya komunikasi dua hala dan pertukaran kefahaman antara manusia dan teknologi. Ini menggalakkan perkembangan komunikasi, serta meningkatkan perhubungan antara manusia dalam proses kreativiti, dan interaksi antara manusia yang mencipta konteks dan kandungan.

Kebanyakan hanya pengamal seni generasi baru atau mereka yang inginkan perubahan sahaja yang dilihat berani untuk melibatkan penggunaan teknologi komputer didalam penghasilan karya seni. Ini menandakan bahawa majoriti generasi baru tidak bersifat technofobia. Dengan ini kita nampak generasi baru dianggap generasi yang mudah menelan dan mencerna teknologi elektronik walau dalam apa bentuk sekalipun.

Melalui kepesatan teknologi komputer dan sistem komunikasi internet, kini pengalaman seni mampu dikecapi dengan teknologi yang sama. Menyempitkan pemahaman terhadap seni dan sains akan menjadikan aplikasi teknologi itu terhad didalam bidang seni dan kemanusiaan sahaja. Oleh itu, golongan ilmuan dan pengamal kedua-dua bidang telah membina perspektif dan teori baru dengan meletakan nilai-nilai artistik dan kemanusian didalam komputer. Sekurang-kurangnya teknologi memperuntukkan teknikaliti dalam pembuatan, mampu menjana kemungkinan penerokaan baru dan memberi kepuasan bagi mencapai kehendak inovasi artistik.

Bagaimanapun dalam masa mengharungi perubahan dan perkembangan ini seharusnya pengamal seni tanah air tidak mengenepikan elemen dan prinsip budaya bangsa sendiri yang ada kekuatannya dan mampu memeriahkan seni tampak. Bahkan ini merupakan dasar yang dituntut dalam gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang mahukan kewujudan suatu bentuk identiti nasional melalui perpaduan kaum dan seni budaya Malaysia. Justeru itu dengan penerimaan dan pengiktirafan ini boleh mengujudkan kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi akan datang.



[1] Kurtz, D Bruce, Contemporary Art 1965-1990, Hall Englewood Cliffs, New Jersey 1992, ms 56. Ianya dipetik dari Marshall McLuhan, Understanding Media: The Extensions of Man, New York Signet, 1964 ms 23

[2] Masyarakat Maklumat: Perubahan dan Implikasi, Dewan Budaya. Artikel ruangan Teknologi oleh Ding Choo Ming keluaran Disember 1999.

[3] Kurtz, D Bruce, Contemporary Art 1965-1990. New Jersey 1992. Petikan Bab 2: Video, Film, and Performance Art.ms 60. Petikan asal dari katalog John G Hanhardt, Nam June Paik, esei oleh Dieter Ronte, Micheal Nyman, John G Hanhardt dan David A Ross. New York. Whitney Museum of American Art, 1982 ms 102.

[4] Hyperview: Katalog pameran solo oleh Hasnul Jamal Saidon 1997 ms

[5] Hyperview: Katalog pameran solo oleh Hasnul Jamal Saidon 1997 ms

Rujukan

1. Atkins, Robert, Art Speak, Abbeville Press New York 1990

2. CIPTA (Tahun; 1998,1999 dan 2000), Katalog pameran pelajar Universiti Malaysia Sarawak.

3. Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia 1994

4. Dewan Budaya; Masyarakat Maklumat (Ding Choo Ming 1999) Evolusi Komputer Dalam Pencarian Maklumat (Ding Choo Ming 1999)

5. Hasnul Jamal Saidon Hyperview: Katalog pameran solo 1997

6. Ismail Zain, Retrospective Exhibition 1964-1991, Balai Seni Lukis Negara Kuala Lumpur 1991

7. Jin-Kyeong Oh and Gill-Chin Lim, Problems and Possibilities of the Experience of Modern Art Through the Internet, Ewha Womans University Korea and Michigan State University USA. http://www.chg.ru/inet97/G3/INDEX.HTM (Artikel dari internet)

8. Kurtz, D Bruce, Contemporary Art 1965-1990, Hall Englewood Cliffs, New Jersey 1992

9. Mccullough, Malcolm, Abstracting Craft- The Practiced Digital Hand, Massachusett Institute of Technology 1996

10. Moser, Mary Anne and Macleod Douglous, Immersed In Technology- Art and Virtual Environment, Massachusett institute of Technology 1996

11. Niranjan Rajah, Art After the Internet: The Impact of the World Wide Web on Global Culture, Universiti Malaysia Sarawak Malaysia, http://www.chg.ru/inet97/G3/INDEX.HTM (Artikel dari internet)

12. Pemikir; Dari Pascamoden ke Cyberspace (Shaharom TM Sulaiman), Aplikasi Multimedia Dalam Pendidikan (Munir dan Halimah Badioze Zaman) Revolusi Teknologi Maklumat( Norhayati Abd Mukti) 2000

13. Popper Frank, Art Of The Eletronic Age, Thames and Hudson London 1993

14. Rosenberg.M.J., The Cybernatics Of Art, Gordon and Breach, Science Publisher Inc. New York 1983

15. Toffler, Alvin, Kejutan danGelombang, (terjemahan) Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1989

16. World art: Spatial Deception (volume 2/1995)

17. Zimbardo, Philip G, Psychology and Life (Twelfth Edition), Stanford University 1988

Comments

Popular posts from this blog

Tradisi Dan Perubahan:

Tradisi Dan Perubahan: Ekspresi Kendiri Dalam Aliran Modernisme Malaysia. Oleh Mohamed Ali Abdul Rahman (Pensyarah Kanan Jabatan Liberal) M.A. (Arts History and PRints) M.A. Edu. USA. B. A (Hons) USM. Cert Ed. (KPM) I. Pengenalan Seniman Malaysia, generasi abad kedua puluh satu yang mengikuti aliran modernisme dan pasca modernisme akan menilai semula nilai peribuminya dalam konteks baru dan dengan pandangan lebih segar. Penilaian mereka mungkin tidak lagi bersandar kepada nilai-nilai yang pernah digunakan dalam masyarakatperibumi zaman tradisi dan mereka menganggap nilai-nilai tersebut sebagai ketingalna zaman ketika itu. Sebab-sebab utama nilai tersebut dilupakan kerana ia mungkin digunakan atau diamalkan lagi. Mereka lebih suka memberikan nafas baru kepada seni peribumi yang didapati dari sumber peninggalan warisan zaman dan petikan kesasteraan tradisi. Seniman dari masyarakat peribumi mungkin tidak keterlaluan sepert seniman barat yang melupakan terus institusi-institusi keagamaan

Lahir Nafas akibat dendam pada besi

Oleh Azran Jaffar BAGI pengarca, Raja Shahriman Raja Aziddin, setahun tidak menempa besi menimbulkan rasa dendam seninya. Dendam itu bukan semata-mata kerana nilai kesenimannya bagaikan sudah hilang tetapi kerana rasa bersalah melahirkan arca berbentuk figura. Daripada dendam yang membara itu lahirlah Nafas, siri arca logam yang dilahirkan daripada satu daripada empat elemen yang dikaitkan dengan kejadian manusia iaitu tanah, api, air dan angin. Nafas adalah karya terbaru Raja Shahriman, 37 yang kini sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara. Ia adalah siri reka bentuk yang dihasilkan selama dua tahun selepas beberapa tahun mendiamkan diri sejak menghasilkan karya Gerak Tempur, Api Bayangan dan Kemenyan serta Semangat Besi. Jika selama ini arca-arcanya lebih memihak kepada figura, namun konflik yang menggolodak di dalam batinnya menyebabkan Raja Shahriman yang berasal dari Kuala Kangsar Perak cuba mengosongkan mindanya dengan bayangan itu. Hasilnya ialah Nafas yang berupa ja

Lukisan Bayu papar soal kemasyarakatan

DALAM angkatan pelukis muda, nama Bayu Utomo Radjikin bukanlah asing lagi. Baik dalam seni arca, figura, realisme dan abstrak, Bayu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Selepas arca karyanya yang berjudul ‘Bujang Berani’ memenangi hadiah dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Lukis Negara (BLSN) pada 1991, Bayu tidak menoleh ke belakang lagi. Bidang yang pada asalnya hanya sekadar hobi berubah menjadi kerjaya. “Sejak kecil hobi saya melukis. Saya memang tidak pernah terfikir ia akan menjadi kerjaya saya suatu hari nanti. Apa yang saya tahu ketika itu segala emosi saya luahkan menerusi lukisan ,” kata pelukis berasal dari Tawau, Sabah ini. Ekoran minat yang tinggi dalam bidang lukisan , selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia memasuki Institut Teknologi Mara (ITM) (sekarang UiTM) bagi menyambung pengajian dalam bidang seni halus. “Apabila ia menjadi kerjaya, kepuasannya berlainan. Bidang yang saya minati sejak kecil hingga sanggup melupakan