Gambar Hiasan |
Oleh Riadz Radzi
SELEPAS 21 tahun terbabit dalam dunia perniagaan dan korporat, Razak Abdullah, 57, akhirnya memilih bidang yang memberi kepuasan pada dirinya iaitu melukis. Palitan cat minyak, lakaran dan kanvas nyata memberi ketenangan dan bebas daripada sebarang komitmen sebagaimana dihadapi ketika bergelar ahli perniagaan.
Sebagai ahli perniagaan, Razak sering berulang-alik ke luar negara. Pada masa sama, ia memberi peluang kepadanya mengikuti perkembangan seni lukisan di luar negara. Waktu itulah, Razak mula berhadapan konflik antara kesenangan harta atau ketenangan jiwa.
“Saya korbankan dunia perniagaan yang diceburi semata-mata untuk meneruskan minat dalam bidang lukisan. Lukisan sudah menjadi sebahagian hidup saya dan sudah mula melukis di atas tanah sejak kecil lagi.
“Lagipun, lukisan menjauhkan saya daripada berurusan dengan bank, pelanggan dan pekerja. Kini saya cuma berurusan dengan alam menjadikan saya lebih tenang,” katanya yang memiliki kelulusan dalam bidang grafik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1974.
Sekembali dari Itali pada 1994, Razak mula tergerak untuk bergiat aktif dalam bidang berkenaan. Tambahan pula dorongan seorang sahabat karib menguatkan semangat untuk menceburi bidang diminatinya itu secara sepenuh masa.
“Saya bermula dengan gaya lukisan grafik. Ia berterusan sehinggalah saya bertemu pelukis terkenal, Redza Piyadasa yang banyak memberi tunjuk ajar. Dia menasihati saya supaya melukis mengikut luahan rasa yang ikhlas dari hati,” katanya.
Akhirnya dalam usia 47 tahun, Razak mula serius sebagai pelukis sepenuh masa pada 1995. Walaupun agak lewat, ia tidak menjadi penghalang kerana kegigihan dan minat yang dimiliki begitu tinggi. Hasilnya Razak kini memiliki galeri lukisannya sendiri iaitu Impressionists Colonnade di Tingkat 2, City Square, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sejak kecil kehidupan Razak dikelilingi keindahan alam semula jadi di negeri kelahirannya, Terengganu. Sehubungan itu, ia menjadi pilihan Razak dalam memberi ekspresi kepada karyanya. Di Kuala Lumpur, ketenangan rimba di Kampung Kemensah, Empangan Klang Gate dan Hulu Langat menjadi inspirasi kepadanya.
“Jika saya tidak melukisnya sekarang, 10 tahun lagi kawasan itu mungkin sudah tiada kerana ditelan arus pembangunan. Pemusnahan hutan akibat pembangunan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan ia mengecewakan saya,” katanya.
Walaupun menampilkan subjek biasa, Razak menggunakan teknik ‘impressionist’ menerusi palitan cat minyak dengan pisau palet tanpa menggunakan berus. Aliran ‘impressionist’ yang dipelopori Paul Cezanne (1839-1906) memperlihatkan pelukis tidak melakar lukisan terlebih dahulu sebaliknya terus memasukkan warna. Malah pelukis terus melukis secara langsung di depan subjek.
http://www.hmetro.com.my/
Comments