Gambar Hiasan |
Oleh Noraini Ismail
APABILA terpandang seorang anak muda mencanting batik di satu sudut di lobi Langkawi Lagoon Resort, kenangan terus mengimbau ke Kelantan yang satu ketika dulu kegiatan mencanting batik menjadi industri kampung dan sumber utama pendapatan wanita negeri itu.
Saya pernah turut serta mencanting batik bersama emak saudara yang mengambil upah daripada pengusaha batik. Sekurang-kurang saya ada juga pengalaman walaupun sedikit, tidak seperti Shaharizan Saadin, 28 yang terbabit dalam industri itu tanpa ada asas mengenai seni ini.
Dia yang membuka perniagaan batik canting hanya berbekalkan pengalaman yang dikumpulnya bersama kawan-kawan dengan meninjau ke pusat-pusat batik yang ada di Langkawi dan di Pantai Timur.
Yang membezakan perniagaan batik canting Za ialah dari segi konsepnya yang lebih mengutamakan lukisan alam sekitar dan maritim.
Hasil batiknya dibingkaikan untuk menjadi buah tangan pelancong untuk dibawa pulang sebagai kenangan bercuti di Langkawi.
Za membuka sudut canting di Langkawi Lagoon Resort sejak beberapa bulan lalu. Ia adalah aktiviti tambahan kepada pengunjung resort ini terutama kanak-kanak.
Gerai canting yang bertemakan Do it yourself mengajak pengunjung melahirkan kreativiti sendiri di atas sekeping kain putih yang tersedia lukisan yang sudah ditekap dengan lilin.
Dengan menggunakan pewarna yang siap dibancuh, pengunjung boleh mencanting lukisan yang mereka pilih mengikut cita rasa sendiri.
Setiap lukisan canting itu berharga RM50 jika diwarnakan sendiri, manakala batik canting yang sudah siap dibingkaikan berharga lebih RM100.
Sewaktu ditemubual, tiga kanak-kanak Jerman dan ibunya yang bercuti di Langkawi Lagoon Resort asyik mencanting lukisan batik masing-masing. Fritz, ibu kanak-kanak itu berkata dia dan anaknya bercuti di Langkawi Lagoon selama 10 hari sebelum pulang ke Tokyo tempat suaminya bekerja.
Sepanjang tempoh itu, anaknya, Maria, Eva dan Tabea, masing-masing sudah mencanting tiga lukisan.
“Mereka seronok melakukannya dan lukisan itu akan dibawa pulang sebagai kenangan,” katanya.
Za yang tidak ada kelayakan khusus di bidang lukisan tetapi melaksanakan kerja itu berdasarkan minat berkata, sudah banyak cabaran yang dihadapinya sebelum berjaya membuka gerai canting di Pantai Cenang.
Penyertaannya membuka sudut canting di pusat peranginan dan hotel adalah untuk mendekatkan karya batiknya kepada pelancong. Sambutan pelancong terhadap hasil karyanya setakat ini memberangsangkan.
Dia dan rakan-rakannya berhasrat meluaskan kegiatan itu dan kini sedang meninjau peluang mengembangkan batik canting di Sabah.
Setakat ini Za gembira dengan peluang berniaga yang diberikan oleh pihak pengurusan Langkawi Lagoon Resort.
“Sekurang-kurangnya perkembangan industri pelancongan di sini dapat turut dinikmati pengusaha kecil,” katanya.
Za membuka sudut canting setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Pendapatan Za daripada hasil batik canting adalah mengikut kedatangan pelancong ke pusat peranginan itu.
Pendapatannya agak lumayan jika pusat itu menerima kedatangan pelancong dari Arab, Taiwan dan Hong Kong.
Dipetik dari http://websekolah.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Dekor/
Comments