Rumah itu galeri dunia seniku
KELABU yang mewarnai dinding serta laman yang diturap
membentuk imej tersendiri. – Gambar Rohanis Shukri
ANAK seni kini bukan lagi dianggap golongan terpinggir. Ini kerana ada di antara mereka berpendapatan lumayan hingga layak digelar jutawan.
Apa yang diperlukan masyarakat ialah penjelasan dan menyelami situasi sebenar, seperti kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Inilah yang dilakukan pelukis Yusof Ghani melalui galeri/rumahnya, dinamakan Tapak Yusof Ghani di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor.
Bangunan yang tersergam megah di kawasan lereng bukit membelakangi Persiaran Kayangan itu bukan sekadar ruang untuk Yusof yang juga pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), mempamerkan karyanya serta karya pelukis tanah air yang menjadi himpunannya, ia juga menjadi medan untuk beliau memasyarakatkan lukisan.
Berkonsepkan nusantara bandar, rumah setinggi empat tingkat (jika dikira sekali tingkat bawah tanah yang menempatkan studio serta ruang bersantai yang turut dijadikan tempat mengadakan kuliah) menjadi kunjungan jiran serta rakan pelukis.
“Kadang-kadang saya juga membawa rakan surau saya ke sini untuk mereka melihat sendiri lukisan yang ada di samping menyelami jiwa dan pekerjaan seorang pelukis,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Yusof yang enggan menjelaskan perbelanjaan sebenar dikeluarkan bagi pembinaan rumah itu berkata, “apa yang dapat saya katakan ialah reaksi mereka positif dan ada yang berkata bahawa persepsi mereka terhadap lukisan dan pelukis selama ini adalah silap.”
Selain itu kata pelukis yang dikenali dengan siri Topeng, Tari, Hijau dan terbaru Segerak, berkata ada juga yang kadang-kadang datang ke sini menemankan anak mereka untuk mendapat gambaran jelas terhadap bidang seni lukis apabila menyedari kecenderungan anak mereka ke arah ini.
Menggunakan kelabu dan putih sebagai warna luarannya, Tapak Yusof Ghani mengambil beberapa unsur Nusantara dalam penghasilannya yang mana menggabungkan ciri-ciri senibina Melayu, Minangkabau dan Bali dengan moden kontemporari.
“Saya memilih kelabu sebagai latar warna kerana imej bersih yang ditonjolkannya, manakala pintu kaca sebagai pintu utama bagi menggambarkan bangunan ini juga adalah sebuah galeri,” katanya.
Terletak di kawasan seluas 7,000 kaki persegi, ruang hadapan di tingkat bawah dijadikan galeri yang menyimpan karya Yusof, juga sebagai ruang menerima tetamu manakala bahagian belakangnya adalah untuk kediaman.
Selain ruang makan dan dapur, bahagian untuk kediaman turut menempatkan dua bilik manakala dua daun pintu kayu besar memisahkan bahagian ini dengan ruang galeri.
Tingkat dua pula menempatkan ruang untuk perbincangan dan penyelidikan yang mana terdapat dua bilik tetamu di sini yang disediakan untuk rakan-rakan pelukis dari luar dan juga mereka yang ingin membuat kajian mengenai lukisan.
Terdapat juga satu ruang tamu yang diisi dengan rak buku yang kadang-kadang digunakan Yusof sebagai bilik kuliah manakala di anjung luarnya ditempatkan sebuah pangkin dengan beberapa biji bantal besar.
“Bahagian ini juga saya gunakan untuk berehat dan juga mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan,” katanya merujuk kepada anjung yang menghadap jalan utama yang mana turut kelihatan dari situ bangunan utama UiTM.
Jelas Yusof, beliau sengaja mencipta ruang sebegitu di tingkat berkenaan kerana mahukan ia menjadi ruang interaksi dan perbincangan sama ada dengan pelajar atau rakan-rakan pelukis.
Pada dinding luar bilik tetamu pula, Yusof menggantung beberapa contengan di kertas untuk beberapa siri yang pernah dihasilkannya, yang menjadi bahan kajian sebelum mula melukis pada kanvas.
Menariknya Tapak Yusof Ghani ialah, walaupun pembentukannya adalah sebuah rumah tetapi ‘perjalanan’ yang diatur membuatkannya seperti sebuah galeri lukisan lengkap dengan segala kemudahan milik organisasi tertentu.
Tingkat paling atas pula digunakan Yusof untuk menempatkan karya-karya pelukis tempatan yang menjadi himpunannya yang dikumpulnya sejak awal 90-an dan antara yang disimpan di sini adalah hasil kerja Sulaiman Isa dan Ibrahim Hussein serta hasil kerja seramik oleh Said dan Faridah Yusof.
“Pada waktu itu saya sudah mula terfikir untuk mengadakan sebuah galeri sendiri dan apa yang digantung di ruang ini adalah sebahagian daripada himpunan yang saya miliki,” katanya.
Apa pun, sama ada karya sendiri atau karya pelukis yang lain yang mengisi dinding Tapak Yusof Ghani, Yusof memberitahu ia bukan untuk dijual walaupun pernah mendapat tawaran harga yang baik.
Ditanya mengapa bangunan itu dinamakan sebagai Tapak Yusof Ghani, Yusof menjelaskan ia adalah berdasarkan kepada konsep ruang yang mana selepas 25 tahun berjuang dalam bidang seni beliau sudah mendapat tapak.
“Dari satu segi ia juga adalah sebagai permulaan buat saya kerana apabila kita sudah ada tapak barulah kita boleh mara terus ke hadapan dan juga apa yang saya miliki sekarang adalah tapak untuk saya berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai pelukis beliau berasa perlu mengadakan galeri sebegini bagi memperlihatkan kepada masyarakat mengenai bidang seni lukis tempatan yang mana dunianya begitu kecil.
Walaupun baru beberapa bulan ‘berfungsi’, Tapak Yusof Ghani sudah menampakkan dirinya sebagai ruang berinteraksi apabila menerima kehadiran seorang calon doktor falsafah Universiti Melbourne, Australia.
Pelajar itu, Nicole, membuat kajian mengenai bahan yang digunakan Yusof dalam penghasilan karya-karyanya dan melihat kesan serta kesusuaian bahan terhadap keadaan cuaca di negara ini.
Jika di bahagian dalam meletakkan lukisan, bahagian luar pula diisi dengan arca antaranya yang dihasilkan oleh pengarca yang pernah menimbulkan kontroversi kerana arcanya dianggap tidak sesuai sebagai hadiah dari Malaysia untuk PBB, Ramlan Abdullah dan arca gelas oleh Raja Azhar Idris.
Namun, apa yang lebih menonjol adalah arca logam karya Abdul Mutalib Musa yang mengambil banyak tenaga sebelum dapat digantung dengan sempurna.
Dengan tiang besar bersalut marmar pecah yang menyokong Tapak Yusof Ghani, apa yang dapat disimpulkan, ia adalah lambang kepada satu interaksi yang harus wujud bagi menyokong dunia kreativiti yang selama ini dianggap dingin oleh sesetengah pihak kesan daripada pandangan yang tidak jelas.
Dipetik dari http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Dekor/
Comments