Trend jual beli karya seni
Oleh YEO LI SHIAN
yeo.lishian@kosmo.com.my
SUMBER: http://www.kosmo.com.my/
Oleh YEO LI SHIAN
yeo.lishian@kosmo.com.my
ROBERT TOK, 45, bukan pengunjung baru setiap kali berlangsungnya pameran seni di ibu negara. Malah, keterujaan bapa kepada empat orang anak itu jelas memandangkan kunjungannya ke pameran-pameran seumpama itu setiap kali tidak akan hadir dengan tangan kosong.
Sebaliknya, lelaki yang berasal dari Kuantan, Pahang itu akan membawa wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit bersamanya. Wang itu dibawa dengan harapan beliau dapat membeli lukisan-lukisan yang disukai.
Dalam satu pameran seni terbesar, Art Expo Malaysia 2010 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini, Robert sekali lagi tidak sedih untuk berpisah dengan sebahagian daripada wang simpanannya. Walaupun bajet yang dikeluarkan agak besar, dia lebih gembira apabila lukisan kegemaran sudah menjadi miliknya.
Tindakan spontan untuk membeli lukisan demi kepuasan diri itu bagaimanapun kurang disenangi oleh isteri Robert memandangkan seni kepada isterinya dianggap satu pembaziran. Apatah lagi, pendapatan bulanan Robert yang hanya seorang pemandu lori cuma cukup-cukup makan untuk menampung seisi keluarga.
Robert bagaimanapun tidak keseorangan. Dia merupakan sebahagian daripada kategori pembeli yang biasanya sanggup mengeluarkan sejumlah wang asalkan lukisan yang dibeli menepati cita rasa mereka.
Membeli lukisan sebenarnya telah menjadi satu gaya hidup masyarakat urban di Malaysia pada hari ini. Pelaburan atas seni atau lukisan baik untuk tujuan kepuasan diri mahupun keuntungan tidak lagi hanya terhad kepada golongan berada dan elit.
“Hari ini, sesiapa pun boleh membeli lukisan asalkan dalam lingkungan bajet masing-masing. Daripada ratusan sehingga ribuan ringgit.
“Tidak kira berapa pendapatan kita, jika sudah minat, anda akan sanggup untuk membelinya,” kata Pengarah Projek Art Expo Malaysia, Sim Pojinn kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Hakikatnya, pembeli perlu terlebih dahulu menyukai hasil karya yang dibeli. Faktor ini penting memandangkan pembeli perlu ‘hidup’ bersama sesebuah lukisan yang dimiliki.
Menurut Pojinn, lazimnya terdapat dua kategori mentaliti pembeli seni. Selain golongan yang membeli atas dasar suka tanpa mempedulikan siapa pelukisnya, kategori kedua pembeli pula lebih memberi tumpuan kepada butiran-butiran kecil tentang latar belakang pelukis sesebuah hasil karya.
Ketelitian seperti itu biasanya amat penting bagi golongan pembeli yang membeli lukisan untuk tujuan pelaburan kerana mereka ingin mengetahui prospek lukisan untuk dijual semula selepas tempoh beberapa tahun. Sebagai satu produk bersifat intelektual, trend membeli seni untuk pelaburan di Malaysia dilihat kian ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Karya kontemporari
“Kini, karya kontemporari Malaysia semakin hangat di pasaran. Ramai golongan pembeli muda yang
berusia di bawah 60 tahun membeli
karya -karya seni kontemporari padahal pada tahun 1980-an, seni kontemporari sukar laris,” terangnya sambil memberitahu Malaysia juga memiliki ramai pelukis yang berbakat dan berkaliber.
Jika pelaburan dalam seni lebih terjurus kepada subjek-subjek berbentuk pemandangan sekitar tahun 1980-an, trend hari ini tertumpu kepada lukisan-lukisan kontemporari. Lukisan kontemporari boleh hadir dalam gaya surrealism mahupun realistik biasanya membawa tafsiran yang tersirat dan tidak sekadar pada corak-corak permukaan sesebuah hasil karya.
Dari konteks pasaran antarabangsa, lukisan kontemporari Cina menjadi rebutan. Pengarah sebuah pusat bidaan, Institut Sotheby Singapura, Phil Whittaker berkata, nilai lukisan kontemporari Cina telah meningkat lebih 200 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
Namun, beliau yang memiliki lebih dua dekad pengalaman dalam industri jual beli pelaburan seni berpendapat, pada asasnya, pelaburan seni perlu dilakukan pada masa yang betul. Malah, kemahiran untuk membeli dan menilai lukisan yang berbaloi sebagai pelaburan juga tidak berlaku dalam masa sehari dua.
“Banyak yang perlu diketahui dan dipelajari sebelum seseorang boleh menjadi seorang pakar pelabur seni atau lukisan. Oleh sebab sesetengah orang mendapat keuntungan melalui pelaburan dalam seni tidak bermakna setiap orang untung,” katanya dalam satu seminar bertajuk Penilaian dan Pelaburan Seni di ibu negara baru-baru ini.
Sebaliknya, sebelum mencampakkan sejumlah wang ke dalam lukisan untuk tujuan pelaburan, seseorang pembeli perlu mengetahui dan menguasai tip-tip membeli lukisan yang asli. Pertama, latar belakang seseorang pelukis dan lukisannya boleh menentukan nilai dan kualiti sesebuah hasil karya.
Proses perkembangan seseorang pelukis, galeri yang mewakilinya, berapa banyak pameran yang telah disertai serta pandangan wakil galeri melihat potensi pelukis tersebut adalah persoalan yang perlu dijawab.
Lukisan palsu
Whittaker yang juga seorang pengumpul lukisan berkata, harga sesebuah lukisan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Bakat semata-mata tidak mencukupi untuk menambahkan nilai sesebuah hasil karya. Sebaliknya, jumlah dan jenis anugerah atau pengiktirafan yang diterima, pencapaian akademik, jenis medium yang digunakan serta pendapat pihak ketiga tentang pelukis tersebut adalah satu bonus tambahan.
“Pada kebiasaannya, nilai lukisan cat minyak adalah lebih tinggi berbanding cat air ataupun lakaran biasa. Tetapi itu pun bergantung kepada reputasi pelukis terbabit,” jelasnya.
Dalam keseronokan mengejar trend membeli dan melabur dalam seni, pembeli yang tidak berpengalaman juga boleh terdedah kepada risiko terbeli lukisan palsu.
“Kita ambil senario ini sebagai contoh. Jika anda dicadangkan untuk membeli sebuah lukisan yang kononnya sangat berkualiti dan dihasilkan oleh pelukis terkenal pada harga ribuan ringgit dan penjual pula beriya-iya menjualkannya kepada anda. Anda perlu berfikir dahulu.
“Sekiranya lukisan itu hasil karya orang yang ternama dan anda pun bukan pengumpul seni yang terkemuka, apakah rasionalnya penjual atau galeri akan menjualkannya kepada anda? Jadi, berhati-hatilah pada tawaran harga murah untuk lukisan oleh pelukis terkemuka,” kata Whittaker sambil menasihati.
Pemilik Galeri Artseni di Galeri Starhill, Jalan Bukit Bintang, Philip Wong, 42, yang dihubungi Kosmo! pula berkata, sesiapa juga boleh menjadi pelabur dalam bidang seni asalkan mereka membuat penyelidikan yang terperinci mengenai subjek tersebut.
“Ramai pembeli dari Barat lebih tahu menghargai dan membeli lukisan kerana mereka memahami sejarahnya. Berbeza pula dengan orang kita. Tidak ramai yang tahu tentang gaya dan teknik lukisan yang ingin dibeli.
“Jadi, saya nasihatkan pembeli agar banyak membaca dan melakukan penyelidikan terperinci terlebih dahulu daripada buku, katalog atau majalah-majalah seni sebelum membeli seni untuk pelaburan,” katanya.
SUMBER: http://www.kosmo.com.my/
Comments